Bunga bukan sebarang bunga, Bunga datang dari Langkawi. Chengkeh bukan sebarang Chengkeh, ini Chengkeh keturunan Mahsuri

syurga tembok besi

Ismail merenung langit senja yang kian berbalam. Sudah lama dia tidak ke pantai ini. Merenung kaki langit dan mengucap puji-pujian padaNya. Panggilan suci mengalun indah bersahut-sahutan antara kubah-kubah masjid. Lalu ditinggalkan pantai yang kian kelam dan melangkah ke masjid terdekat. Ingin mengadu padaNya. Ingin mengadu tentang keluh-kesah hati tuanya.

*

Ismail merenung lagi jalan tar yang terdapat di hadapan rumahnya. Di tangannya tergenggam kemas akhbar harian kegemaran. Ismail hanya tersenyum melihat anak-anak kecil mengengdong beg berisi kitab suci. Teringat lagu dodoian untuk anak-anaknya sebelum tidur. Lalu dinyanyikan dalam hati sambil bibir tersenyum nipis. “ buai laju-laju hingga cucur atap, belum tumbuh gigi, sudah pandai baca kitab”. Anak-anak kecil yang cuma tahu hidup adalah untuk bermain. Apa dilakukan akan menguntumkan senyuman di bibir. Tidak memahami sepak terajang dunia sebenar. Tidak memahami kadang-kadang dunia ini lebih kejam dari pandangan lahiriah.

Ismail menatap lembaran akhbar semula. Dia membaca artikel tentang Penjara Pudu yang bakal disemadikan atas nama pembangunan. Sudah beberapa kali artikel itu dibaca namun masih tidak menemukan jawapan yang utuh mengapa harus warisan dilupuskan. Terdapat gambar tembok penjara yang setinggi 4.5 meter itu dari pelbagai sudut. Menayangkan palitan warna dan tulisan yang sukar untuk digambarkan oleh Ismail. Hatinya tiba-tiba sebu. Ismail mengurut-ngurut urat-urat tangan tuanya. Tangan yang pernah memegang senjata pembunuh dan tangan itu juga pernah mencalit warna-warna menjadi lukisan peringatan di tembok penjara tertua itu.

Tidak ramai yang tahu orang tua yang selalu menapak ke masjid ini bekas banduan. Banduan penjara yang paling digeruni di negara ini. Siapa tahu lelaki tua yang sederhana ini pernah mencabut nyawa manusia. Siapa tahu lelaki tua yang tinggal bersendirian ini pernah menjadi penghuni penjara tertua itu selama 20 tahun. Dan kini dia menatap penjara yang bakal dirobohkan itu. Sepatutnya dia bergembira. Tempat yang menyebabkan kad pengenalan warganegaranya bertukar warna bakal dikuburkan. Namun hatinya sayu. Bangunan berusia lebih satu abad itu mengembalikan dirinya yang pernah hilang suatu ketika dahulu. Daripada seorang anak penoreh getah yang naif kepada seorang penyamun material. Daripada seorang bapa yang penyayang kepada seorang pembunuh.

Ismail berteleku lagi di birai pintu. Mengimbas kembali bagaimana dia berubah daripada seorang anak desa yang tersenyum bangga mencari rezeki halal kepada seorang lelaki banjingan merompak membunuh tanpa kesal. Selepas berkahwin dia membawa Mariam, isteri pilihan keluarga ke ibu kota. Dengan hasrat ingin mengubah nasib keluarga dan membahagiakan Mariam dengan kilauan permata. Tahun-tahun awal melayari alam rumah tangga sememangnya indah. Apatah lagi dikurniakan anak-anak sebagai penyeri rumah tangga. Namun hidup ini terlalu kejam. Material belum menjamin bahagia. Apatah lagi anak-anak kian membesar dan memerlukan belanja yang lebih. Di celah-celah kota metropolitan itu dia berubah daripada seorang bapa yang penyayang menjadi perompak. Di rumah dia suami dan bapa mithali namun di jalanan dia dicerca kerana menyebabkan kerugian kepada masyarakat. Namun karma Ilahi tetap memburu dan memintasnya tanpa salam. Pembunuhan yang tidak disengajakan semasa mencari sesuap rezeki untuk anak isteri, dia terjerat.

Ismail menjadi antara penghuni penjara keramat Malaysia. Surat dari isterinya membuatkan dia tersentak. Permohonan membubarkan perkahwinan yang dilampirkan Mariam membuatkan dia terkedu. Kata isterinya dalam utusan terakhir itu “ biar saya dan anak-anak mati tak makan daripada tidur kekenyangan makan hasil haram dan dari air mata orang lain”. Akhirnya dia pasrah menurunkan tandatangan pada lampiran permohonan cerai diiringi air mata. Dia harus melepaskan Mariam dan anak-anaknya. Ini harga yang harus dibayar untuk setiap kejahatan yang pernah dilakukannya. Biar Mariam pergi mencari bahagianya sendiri dan biar anak-anaknya tidak malu mengatakan ayahnya seorang bapa terbaik. Biarlah anak-anak kecilnya yang seramai sebelah tangan itu tidak mengetahui ayahnya ini seorang banduan.

Dititipkan pada Mariam, khabarkan pada anak-anak bahawa ayah mereka sudah meninggal dunia. Andai umurnya panjang mampu menghirup udara luar tembok besi ini, andai anak-anak telah dewasa dan boleh menerima hakikat siapa dirinya yang sebenar. Dipintanya pada Mariam agar membuka kembali sejarah keluarga. Andai anak-anak mahu menerima dirinya sebagai ayah, datanglah mencium tangannya walau sekali. Dipesan juga pada Mariam, andai puteri kesayangannya yang kembar itu ingin mendirikan masjid. Kalau boleh biarlah dia yang menjadi walinya. Andai anak-anaknya masih mahu menerima bapa celaka ini. Andai matanya masih belum tertutup.

Ismail hanya tersenyum kelat memainkan kembali pita Penjara Pudu yang dihuninya selama 20 tahun itu. Disitu dia kembali menjadi dirinya yang dahulu. Ismail yang rendah diri. Ismail yang kembali menekuni kitab suci dan gemar mengalunkan ayat-ayat Ilahi. Bukan sedikit cerita sepanjang dia menghuni bilik kecil tembok besi itu. Saban hari dia hanya mampu mendongak ke langit dan berharap agar dia dapat bertemu semula dengan Mariam dan anak-anaknya. Biarlah walau bukan sebagai bapa, biarlah sebagai orang asing. Biarlah jika hanya mampu memandang dari jauh syurganya suatu ketika dahulu.

*

Ismail menonton berita di ruang tamu rumahnya. Berita jam lapan itu turut memuatkan tentang ‘rumahnya’ suatu ketika dahulu. Berduyun-duyun orang ramai turun membantah pengebumian penjara usang itu. Matanya tertancap pada lukisan di dinding tembok penjara itu. Urat-urat tua di tangannya diusap lagi. Tangan yang pernah mencalit warna meluah rasa hati di tembok beku itu. Hari ini lukisan itu bakal dirobohkan atas nama pembangunan. Sekali lagi fikirannya melayang kembali ke tembok besi itu.

Minatnya yang mendalam terhadap seni lukis membuatkan dia ditawarkan menumpahkan kreativiti di tembok beku itu. Di luar tembok besi yang memakan usianya dengan perlahan. Akhirnya selepas 15 tahun, dia menghirup udara segar Kuala Lumpur. Tercangak-cangak bagai rusa masuk kampung bersama-sama rakan-rakannya melihat perubahan ibu kota. Akhirnya dia membulatkan tekad. Biarlah karya agungnya ini menjadi ingatan sepanjang zaman buat manusia yang lalu-lalang di sini. Jangan dihampiri selagi namanya jenayah. Digerakkan tangannya mencalit warna dan kata ingatan. Agar bangsanya tidak terpesong sepertinya. Dilukiskan juga pepohon nan hijau seperti yang terdapat di kampungnya. Dilukiskan juga pantai yang pernah menjadi tempat dia melepaskan lelah bersama teman-teman.

Pengawal penjara yang bermisai tebal bermata garang itu hanya tersenyum padanya. Pengawal peramah itu bertanya mengapa dia lebih gemar melukis alam berbanding rakan-rakan yang lain yang memberi ingatan bahawa dadah bermakna tali gantung. Ismail hanya tersenyum dan membalas bahagia. Katanya dia rindu akan wanginya bayu pagi beraroma daun-daun hijau segar. Dia juga rindu akan harumnya bayu laut yang membelai wajahnya saban petang. Dia rindukan alam dan rindunya ditumpahkan pada kanvas gergasi itu. Pengawal bernama Nordin itu menepuk-nepuk bahunya dan mengatakan padanya bahawa doanya mengiringi mimpi Ismail. Ismail tersenyum dan kampung halaman kian jelas terbayang di mindanya. Tidak lupa wajah Mariam dan anak-anak.

Ismail tersentak dari lamunan. Salam yang dihulur di muka pintu kian jelas kedengaran. Rupanya Daniel, anak jiran sebelah yang berusia enam tahun itu datang menghantar ayam masak kicap untuk makan malamnya. Diraihnya anak kecil itu, diusap kepala Daniel penuh kasih sayang. Anak kecil inilah peneman setianya. Teringat anak sulungnya yang terpaksa ditinggalkan dahulu. Sebaya Daniel. Tentu anak lelaki sulungnya itu sudah mempunyai keluarga sendiri. Daniel merenungnya kehairanan. Namun apalah yang difahami anak kecil itu.

*

Ismail membaca lagi ruangan akhbar yang memuatkan tentang ‘rumahnya’ itu. Pelbagai suara kedengaran. Mempertahankan hujah masing-masing. Ada kata-kata yang membuatkan hati tuanya bagai disiat-siat. Untuk apa menyimpan bangunan usang itu lagi. Tidak memberikan sebarang faedah kepada negara. Namun hatinya bagai disiram air mawar melihat anak-anak muda yang lantang membantah. Sejarah harus dikekalkan walau apa sekalipun. Mampukah dia menatap lagi bangunan tua itu? Terasa ingin kembali ke tembok besi itu. Menyentuh semula karya agungnya yang bakal hilang ditelan rakusnya pembangunan. Menghirup sebentar udara keinsafan di sebalik tembok besi itu. Betapa manusia muda lupa. Sudah terkena baru beringat. Baru menghargai. Apa daya seorang banduan sepertinya untuk menghalang robohnya bangunan keramat itu. Suara tua ini pasti tidak membekas pada jiwa mereka yang tamak itu. Ismail hanya mampu menahan air mata, menjeruk rasa terhadap mereka yang rakus itu.

*

Ismail menoktahkan kitab yang sedang dibacanya. Telinganya menangkap bunyi kereta yang sedang berada di halaman rumahnya. Kehairanan bergayut di hati tuanya. Ada tetamu yang mengunjungi malam sepinya. Ismail segera membuka pintu kayu usang rumahnya dan menjawap salam sekali nafas tuanya. Ada empat kereta tersusun di lamannya. Seorang lelaki mendaki anak tangga dan menghulurkan tangan ingin berjabat. Ismail menyambut huluran salam dan masih berteka-teki siapakah lelaki ini. Datang bersama beberapa dua lelaki lain yang kelihatan lebih muda. Wanita-wanita pula memegang tangan anak-anak kecil seperti seorang ibu yang memegang anaknya. Dua gadis muda yang berwajah serupa turut tersenyum memandang ke arahnya.

Ayah. Ungkapan keramat yang terluncur dari bibir lelaki yang sedang memeluknya ini membuatkan Ismail tersentak. Hampir 30 tahun Ismail tidak mendengarnya dan hari ini mimpi saban malamnya seolah-olah menjadi nyata. Khairul anak lelaki sulungnya itukah yang berada dalam pelukannya ini. Hati Ismail bertanya perlahan.

Saya Khairul ayah. Anak ayah. Ungkapan yang terluncur dari bibir lelaki itu membuatkan air mata tuanya mengalir tanpa dipaksa-paksa. Anak-anaknya kini berada di depan mata. Satu-persatu anak-anaknya bersalam dan memeluknya di muka pintu usang itu. Bermula dengan Khairul, Khairil, Khairi dan puteri kembar kesayangannya, Khairina dan Khairini. Ismail hanya mampu tersenyum bersalaman dengan menantu-menantunya. Air matanya kian deras tumpah tatkala menyentuh kepala cucu-cucunya yang malu-malu bersembunyi di belakang ibu mereka. Betapa lama aku meninggalkan keluargaku dan kini mereka kembali bersama permata-permata yang indah untukku.

Khairul menggenggam tanganku erat tatkala aku bertanyakan soal Mariam. Katanya ibu sudah bertemu syurganya dan suatu hari nanti ibu akan datang bertemu ayah bersama suami barunya. Ismail tersenyum. Mariam menunaikan hasratnya. Khairina pula memegang tanganku dan tersenyum. Katanya dia akan melangsungkan perkahwinan dengan pilihan hatinya dan mahukan aku sebagai walinya yang sah. Aku bertambah bahagia. Kembarku ini juga telah bertemu syurganya. Hatinya tidak henti berbisik pada Ilahi mengucap syukur atas bahagia ini walaupun di lewat usianya.

*

Sesungguhnya bangunan usang tidak berguna itu telah mengembalikan dirinya yang dulu. Membawanya kembali dirinya yang tersesat dan menjadikan dirinya seorang manusia yang lebih menghargai hidup. Ismail memandang sayu bangunan usang yang berada di depannya kini. Kerana tembok besi ini dia kembali menjadi hamba yang taat. Kerana jeriji besi ini juga dia memperoleh syurganya semula. Walau suatu hari nanti tembok ini akan rebah menyembah bumi. Sekurang-kurangnya ia tetap segar di hati Ismail kerana itulah syurganya selama 20 tahun.


~tamat~


p/s: sedikit berat kerana cerpen ini saya ajukan kepada pensyarah penulisan kreatif, Dr Mawar Safie sebagai tugasan individu. sebuah cerpen eksperimental. amat mencabar minda dan kerativiti. alhamdulillah sedikit sebanyak kelas ini membantu saya 'berehat' sebentar dari ruang lingkup pengajian utama saya. selamat membaca dan ulasan anda amat dihargai :)


HOTTEST ♡ 2PM