Bunga bukan sebarang bunga, Bunga datang dari Langkawi. Chengkeh bukan sebarang Chengkeh, ini Chengkeh keturunan Mahsuri

cinta semanis kek coklat

CINTA SEMANIS KEK COKLAT

Bang, kek coklat satu!”

Syamie Azri segera menunaikan permintaan daripada gadis yang sedang berdiri di depan kaunternya. Tugas sebagai pekerja café kadangkala amat memenatkan namun gelagat dan usikan daripada rakan-rakan sekerja boleh melenyapkan segala keletihan yang membelenggu. Syamie menyerahkan bekas polystyrene yang berisi kek coklat kepada gadis manis yang sedang leka berbual dengan rakannya itu.

“Terima kasih”

Dan gadis itu terus berlalu menuju ke kaunter pembayaran. Syamie hanya mampu memandang gadis tersebut. Saban hari gadis itu akan datang membeli kek coklat yang dijualnya. Hanya dua ayat itu sahaja yang terzahir dari mulut gadis berlesung pipit itu. Telah hampir sebulan dia bekerja di café itu dan setiap petang pasti gadis itu akan datang membeli kek coklat. Nampaknya gadis itu amat menggemari kek coklat buatannya sendiri!

*

Eriesya Nuraina menghempaskan tubuhnya di atas katil. Keletihan menguasai diri. Kehidupan sebagai anak kampus amat memerlukan kekuatan fizikal dan mental yang kuat. Dia memandang kosong ke arah rakan sebiliknya yang sedang menyusun kasut di sisi pintu.

Tiba-tiba Eriesya melompat ke arah meja studynya dan membuka bekas polystyrene yang berisi kek coklat kegemarannya. Syazlin pula terjerit kecil.

“ Kau ni tersampuk ke apa? Tadi bukan main lembik lagi aku tengok. Tiba-tiba terlompat macam kena belacan lepas tu mengadap kek coklat. Tau la favorite cake pon…” Syazlin mengomel sambil meleraikan lilitan selendangnya. Eriesya yang ajar! Kalau tak, mampus aku nak lilit selendang ala-ala Yuna ni!

“ Sedap la kek ni… dulu takde pon. Sejak abang comel tu kerja kat café tu baru ada kek ni kan? Mesti dia yang buat kan?” Eriesya terus menyuap kek coklat ke dalam mulutnya sambil memejamkan mata. Seolah-olah benar-benar menikmati keenakan kek coklat tersebut.

“ Abang comel? Sejak bila pulak kau gelar dia abang comel? Comel ke…?” Syazlin mengherotkan mukanya. Seolah-olah memerli rakan baiknya itu.

“ Comel la di mata aku. Di mata kau tak tau la. Kau kan minat lelaki korea. Aku minat yang made in Malaysia hahaha…” Eriesya melepaskan ketawa lantangnya. Tak sopan langsung anak dara Pak Anuar ni. Biar la… bukan ada orang tau!

“ Tau takpe… Tapi kan Sya… Aku perasan abang comel kau tu asyik jeling-jeling kau je tiap kali kita pergi café tau. Entah-entah dia minat kau” Syazlin memmbulatkan matanya seolah-olah cuba menyucuk jarumnya.

“ Kau ni mabuk ke apa? Dia tu kerja kat café. Banyak lagi perempuan cantik yang dia boleh pandang tau. Aku ni tak cantik” balas Eriesya perlahan.

“ Eleh kira kau cantik la dari aku. Lagi cantik dari si Fasha awek pakwe lama kau tu” eh betul ke apa aku cakap ni? Ah… lantak la! Syazlin meneruskan bebelannya.

“ Si Farid tu je buta tak tahu nak menilai. Kalau muka je cantik tapi perangai macam Rika Sumanto nak watpe!” eh? Masuk cite Indon pulak.

Eriesya hanya mendiamkan diri. Bila nama Farid dan Fasha timbul dia akan berasa sayu. Farid meninggalkannya kerana dia tidak cantik dan seksi!

“ Saya nak awek yang bukan saja cantik tapi boleh ikut saya pergi disko. Tapi kalau dah pakai tudung macam ni macam mana nak masuk club? Awak tak payah la pakai tudung. Kalau awak pakai seksi lagi saya suka. Lagipun awak ni macam tak cukup cantik la pakai macam ni. Macam kampung girl”

Ayat demi ayat yang pernah dilontarkan oleh Farid mula melantun ke dalam kotak memorinya dan terus menikam jiwanya. Kerana ayat-ayat itu juga dia rela melepaskan Farid ke tangan Fasha, gadis paling cantik dan seksi di kolejnya. Biarlah dia kehilangan kekasih daripada kehilangan harga dirinya sebagai gadis bertudung! Lagipun aku memang orang kampung! Bangga giler aku orang kampung pasal tak semua orang dapat merasa membesar dalam suasana kampung!

*

“ Abang, kek coklat satu!”

Ah… Awek ni datang lagi. Syamie segera mencapai pengepit dan menunaikan permintaan gadis tersebut. Sambil itu dia menjeling ke arah gadis yang dipujanya dalam diam. Ketika hendak menyerahkan bekas polystyrene ke tangan gadis tersebut, Syamie terpandang ke arah rakan gadis tersebut. Rakan gadis itu sedang tersengih ke arahnya sambil mengangkat keningnya.

Alamak! Dia perasan ke? Syamie mula gelabah bila rakan gadis tersebut mengangkat ibu jarinya seraya meninggalkan kaunter tersebut.

*

Eriesya sedang berbual dengan rakan-rakannya di café. Tiba-tiba dia bangun dan menuju ke arah kaunter ‘Dessert’. Niat di hati ingin mendapatkan kek coklat kegemarannya.

“ Abang, kek coklat satu!” ayat stereotaipnya diluahkan.

“ Sorry la dik. Kek coklat dah habis” balas ‘abang comel’ sambil mengangkat tangannya menunjukkan tanda telah habis.

Eriesya tidak dapat menyembunyikan perasaan kecewanya dan terus berlalu menuju ke arah rakan-rakannya. Kempunan aku hari ni…

“ Kau ni kenapa sya? Monyok je” Syazlin menyoal.

“ Kek coklat aku habis”

“ Lah… Esok kan ada. Beli jela esok”

“ Tapi hari ni aku tak makan kek coklat lagi”

“ Nak buat macam mana. Takde rezeki kau hari ni” Syazlin cuba memujuk.

Tiba-tiba…

“ Kak, ada orang bagi kek coklat” seorang pemuda berdiri di sisi meja mereka dan menyuakan sepotong kek coklat. Skema semacam je. Ni mesti budak 1st year.

“ Hah? Sape yang bagi?” tanya Eriesya terkejut. Tak sempat aku nak kempunan.

“ Abang tu bagi” ujar pemuda tersebut sambil menunjukkan ke arah kaunter ‘Dessert’.

Eriesya memusingkan badannya. Syazlin turut menyibuk. Eriesya melihat ‘abang comel’ itu tersenyum padanya. Dia membalas senyuman tersebut dan segera berpusing ke arah pemuda yang masih berdiri di sisi meja mereka.

“ Terima kasih ye dik”

Eriesya memandang kek coklat yang berada di depannya. Rakan-rakannya mula mengerumuni kek coklat yang satu itu. Seolah-olah melihat makanan bercakap! Ah, sudah… Lepas ni tadah telinga jela kena perli…

Kek coklat lembab itu kelihatan tambah menyelerakan dengan sebiji buah ceri bertenggek elok di bahagian atas kek tersebut. Alahai comelnya…

“ Wah… Lepas ni rajin la orang tu turun café. Dapat kek coklat free…” usikan dari Nadira memecahkan tawa dalam kalangan rakan-rakannya.

Tiba-tiba sang ‘diva’ bersuara!

“ Eleh… Kalau setakat kek coklat harga RM 3.50 ni, sepuluh pakwe aku boleh beli. Please la… Kerja café je pon… Low class la…” Nadya mematikan suasana yang ceria itu.

“ Hello cik kak… Apa salahnya kalau kerja café pun… Bukan kerja haram. Kalau kau cakap pakwe kau tu kaya sangat, tak pernah pulak aku tengok pakwe kau belikan kek coklat!” Hasanah membalas keras. Over betul minah ni! Meluat aku!

Sementara itu, Eriesya pula serba tak kena. Ketika matanya dan mata ‘abang comel’nya bertembung tadi. Dirasakan detik seakan berhenti sektika. Tiba-tiba dirasakan jantungnya berdegup pantas. Macam orang baru lepas berlari 100 meter! Kenapa dengan aku ni. Kek je kot…

*

Syamie mengerutkan keningnya. Sudah tiga hari dia tidak melihat kelibat gadis pujaannya di café dan membeli kek coklat buatannya. Dia sakit ke? Balik kampung ke? Haish… risau campur rindu. Sama dengan? Cinta hehehe…

*

Eriesya segera melangkah menuju ke café. Kek coklat! Dah tiga hari aku tak makan. Rindu gila… Namun senyuman Eriesya kian melebar tatkala melihat ‘abg comel’nya masih setia di situ. Debaran di dada kian melebar. Nak cakap ke tak ngan dia? Cakap terima kasih jela. Tu yang penting!

“ Abang, kek coklat satu!”

“ Ok. Lama tak nampak. Balik kampung ke?”

Hah? Dia tanya aku? Dia bercakap dengan aku? Dia tunggu aku ke?

“ A’ah… Balik kampung kejap. Sepupu kahwin. Er… terima kasih ye pasal kek hari tu”

“ Eh, takpe… Saya tau awak suka makan kek coklat tu”

“ Saya Eriesya. Eriesya Nuraina. Panggil je Sya” hah? Aku perkenalkan diri? Gulp! Beraninya kau Eriesya? Hati kecil Eriesya bermonolog.

“ Saya Syamie. Syamie Ilham. Panggil je Mie” ‘abang comel’ membalas sambil tersenyum.

Alahai… Kenapalah kau comel sangat wahai abang café? Cair aku… Baru aku perasan mata kau tu warna coklat! Alahai…

*

Eriesya dan Syamie kian rapat malah mereka sering keluar bersama ketika hujung minggu. Hampir dua bulan hubungan persahabatan itu berlarutan. Pada suatu petang yang kian memerah, Syamie dan Eriesya sedang berjalan-jalan tepi tasik. Syamie mengeluarkan sepotong kek coklat berkotak jernih. Lutsinar!

“ Ni saya ada bawakan kek coklat untuk awak tapi awak tak boleh makan sekarang” Syamie tersenyum mengungkapkan kata-kata tersebut.

“ Kenapa?” Eriesya menyoal laju. Dia geram melihat kek coklat lembab yang kelihatan berlainan daripada biasa itu. Terdapat tiga biji ceri tersusun elok di atas kek tersebut. Di celahan ceri tersebut ada terselit daun pudina yang membangkitkan seri kek tersebut. Alahai…

“ Awak makan je kat bilik. Nanti awak faham la kenapa” Syamie cuba memujuk.

“ Ok… Terima kasih ye wak” Eriesya menyambut huluran bekas yang berisi kek coklat tersebut. Hatinya girang dan senyuman yang terukir di bibir kian melebar.

*

Eriesya membuka bekas kek yang diberi Syamie petang tadi. Tidak sabar rasanya melihat kek yang kelihatan istimewa itu. Eriesya mengangkat kek tersebut dan mula menghalakan tangannya ke arah mulut. Tiba-tiba dia terpandang kertas yang menjadi pelapik kek tersebut. Lain macam je ni… Eriesya mengambil kertas tersebut dan meletakkan kembali kek coklat kegemarannya ke dalam bekas yang diberi Syamie itu. Kertas yang berlipat itu dibaca perlahan…

Eriesya Nuraina,

Saya bukanlah seorang pujangga yang bisa mengalunkan melodi indah untuk menghuraikan rasa hati. Saya cuma insan biasa yang punya hati dan perasaan untuk menyayangi dan mencintai. Kek coklat menemukan saya dengan cinta saya. Dan Eriesya Nuraina itulah cinta saya. Maaf andai bicara saya ini lancang namun saya perlukan kepastian supaya pemergian saya kali ini lebih tenang. Saya nantikan keputusan awak.

Ikhlas,

Syamie Ilham

Eriesya melipat kembali surat ringkas yang berisi isi hati seorang pemuda yang kian mendaki takhta hatinya. Dia tersenyum sendiri. Aku dapat surat cinta! Surat cinta zaman millennium! Hehehe…

*

Syamie membaca kembali puisi karya gadis kesayangannya itu. Sementara itu, Boeing 747 terus membelah awan menuju ke destinasinya.

Pemilik Cintaku

Deria rasa menemukan diriku dengannya

Lalu pancaindera penglihatan mula memahat

Seraut wajah di ingatan

Akhirnya kata cinta yang ku nantikan

Menyusur lembut ke deria pendengaran

Dan menyanyikan melodi indah di jiwa

Penyatuan anugerah Ilahi ini akhirnya

Mengalunkan irama cinta yang

Amat mengasyikkan

Cinta yang dihulur ku sambut penuh syukur

Lalu ku putuskan

Engkaulah pemilik cintaku…

*

“ Eh, dah seminggu tak nampak ‘abang comel’ kau. Dia dah berhenti ke?” Nadira menyoal sambil memanjangkan lehernya melihat ke arah kaunter ‘Dessert’.

“ A’ah… Dah berhenti” Eriesya menyedut carrot susu tenang.

Nadya tersenyum.

“ Dia sambung belajar kat UK. Hari tu dia kerja part time je sementara nak isi masa lapang cuti semester dia” Eriesya membalas selamba.

“ Eleh yeke dia pergi belajar kat UK. Entah-entah dia berhenti sebab tak nak kat kau” Nadya membalas.

Lasernya mulut minah ni…!

“ Hello cik Nadya… Kalau kau nak tahu… ‘Abang comel’ si Sya ni pergi sambung belajar kat University of Nottingham United Kingdom. Amik architecture! Pakwe kau belajar pe? Tau berlagak dengan harta mak bapak je!” Syazlin membalas keras.

Nadya terkedu!

Eriesya hanya mampu tersenyum. Tiba-tiba ingatannya terbang melayang mengingatkan kekasih hati yang jauh di perantauan.




~TAMAT~


HOTTEST ♡ 2PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan